All News

TAN SRI FNG DILANTIK SEMULA SEBAGAI PROFESOR ADJUNG TISSA-UUM

image005

UUM ONLINE: Prof. Tan Sri Dr. Fng Ah Seng telah dilantik semula sebagai Profesor Adjung di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) mulai 20 Oktober 2022 hingga 19 Oktober 2023.

Pelantikan semula itu dibuat atas sumbangan besar beliau yang memberi manfaat kepada universiti sama ada secara langsung dan tidak langsung dalam bentuk idea, kepakaran mahupun sumbangan kewangan.

Watikah lantikan beliau itu diserahkan ketika lawatan delegasi pengurusan TISSA-UUM yang diketuai Dekan, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf ke pejabatnya di Epic Valley Holdings Sdn Bhd, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Nor Aziah berkata, sumbangan besar Tan Sri Fng sangat banyak kepada UUM, khususnya kepada TISSA-UUM, jadi beliau merakamkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada beliau.

Pada 29 November 2022, Tan Sri Fng selaku Pengerusi Yayasan Muhibah dan juga Pengarah Urusan Epic Valley Holdings telah berkongsi idea dalam siri syarahan Profesor Adjung kepada pelajar dan pensyarah TISSA-UUM bertajuk ‘Strategies To Win in A Challenging Economy’.

Sepanjang 2022, Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng telah memberikan sumbangan kewangan untuk aktiviti berikut:

  1. RM40,000 kepada program UUM-ABC Endurance Challenge 2022 di Nepal pada September 2022 yang turut melibatkan lebih 15 staf TISSA-UUM.
  2. RM10,000 untuk sambutan Hari Keluarga TISSA-UUM seperti yang di maklumkan semasa kunjungan hormat pihak pengurusan TISSA-UUM pada 3 November 2022.
  3. RM36,000 untuk program anjuran TISSA-UUM: TISSA EDU-CHARITY RUN (TECHRUN) 2022 yang telah diadakan pada 16 Disember 2022.

Sementara itu, Tan Sri Fng menyatakan harapannya agar TISSA-UUM dapat memberi penekanan terhadap aspek penerapan nilai-nilai murni ke atas setiap pelajarnya.

“Biasanya kejayaan seseorang bergantung kepada nilai murni yang dimiliki kerana hanya 20 peratus graduan akan dinilai pada kemahiran teknikal, manakala 80 peratus kejayaan ditentukan aspek nilai murni dan kemahiran insaniah lain,” katanya.