All News

TISSA Edu-Charity Run 2022 Berjaya Tarik 500 Peserta

trc1

TISSA Edu-Charity Run (TECHERun) 2022 merupakan sub-program bagi program utama iaitu “Digitalisasi Pengurusan Kewangan dalam Pengurusan Acara” telah berjaya dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Sistem Maklumat Perakaunan (AISRED), Pusat Pengajian Perakaunan Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) pada 16 Disember 2022.

Program larian ini telah dirasmikan oleh Profesor Adjung UUM, Prof. Tan Sri Dr. Fng Ah Seng yang juga merupakan penaja utama bagi program. Lebih daripada 500 peserta telah turut bersama-sama dalam menjayakan program ini.

“Saya gembira apabila melihat sekumpulan besar anak-anak muda, mahasiswa dan mahasiswi serta golongan veteran bersama-sama yang menyertai larian TECHERun ini  yang bertujuan untuk mempromosi gaya hidup sihat di kalangan rakyat negara ini.

“Saya mengharapkan program TECHERun ini diteruskan untuk tahun seterusnya,” katanya ketika melancarkan larian amal di Kompleks Pusat Sukan UUM.

Prof. Tan Sri Dr. Fng telah menderma sebanyak RM36,000 bagi program ini, iaitu RM6,000 bagi hadiah wang tunai bagi pemenang larian kategori 10km  dan RM30,000 bagi program charity ini. Beliau juga telah memberi derma tambahan sebanyak RM1,000 kepada kelab gendang, Universiti Utara Malaysia.

Larian TECHERun 2022 ini terbuka kepada dua kategori larian, iaitu larian terbuka lelaki dan wanita (10km) dan juga larian fun-run (5km).

Pemenang pertama bagi kategori terbuka lelaki dan wanita 10km merupakan pasangan adik beradik dari Pulau Pinang iaitu Joshua Loh Yixun dan Janice Loh Yinjin yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Pemenang kedua pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang yang dimenangi oleh Nazmi Syabil Ahmad bagi lelaki dan Tkharanie a/p Kalairanan bagi wanita. Hadiah tempat ketiga pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 seorang pula dimenangi oleh Ng Wei Lim bagi lelaki dan Teoh Yi Yan bagi wanita.

Sebanyak 37 hadiah cabutan bertuah juga telah disediakan oleh penganjur dengan hadiah utama adalah sebuah basikal dewasa.

Sebagai rekod, penganjuran TECHERun 2022 ini merupakan program amal (charity) yang melibatkan warga UUM dan orang awam untuk pembangunan pelajar TISSA yang diadakan buat kali kedua selepas kejayaan penganjurannya pada 2017.