UUM ONLINE: Kecil api menjadi kawan, apabila besar ia menjadi lawan. Benarlah bahawa api yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan serius serta mampu menyebabkan kehilangan nyawa.
Oleh itu, adalah penting untuk mempelajari pelan tindakan kecemasan khususnya di tempat kerja.
Sebagai langkah pencegahan awal, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah menganjurkan program latihan kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.
Bomba BKH yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan, Zaizatulniza Razali telah menunjukkan demonstrasi memadam kebakaran menggunakan pemadam yang disediakan di bangunan TISSA-UUM, selain menyampaikan ceramah tentang cara menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran.
Pengerusi Jawatankuasa Risiko, Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan, TISSA UUM, Prof. Madya Dr. Natrah Saad berkata, program ‘fire drill’ itu diadakan bagi membiasakan diri pelajar dan pensyarah sekiranya berlaku kebakaran di bangunan TISSA-UUM.
“Lebih kurang 300 pelajar dan 20 pensyarah yang sedang mengajar terpaksa menghentikan kuliah mereka apabila loceng kecemasan dibunyikan. Kemudian, dengan pertolongan anggota bomba BKH, kesemua mereka digerakkan ke tempat berkumpul.
“Semua pelajar berkenaan tidak dimaklumkan tentang program ini dan ketika di tempat berkumpul, pegawai bomba terlibat telah memberikan penjelasan kepada pelajar berkenaan perkara-perkara yang wajar dan tidak wajar dilakukan ketika berlaku kebakaran,” katanya.