All News

TAN SRI FNG UMUM DERMA RM30,000 UNTUK TECHERUN 2022 TISSA-UUM

WhatsApp Image 2022 12 06 at 09.08.16

SINTOK: Prof. Tan Sri Dr. Fng Ah Seng, Profesor Adjung di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM), pada 29 November 2022 mengumumkan kesediaan untuk menderma RM30,000 bagi aktiviti Tissa Edu-Charity Run (TECHERUN) 2022 yang dijadualkan pada 16 Disember ini.

Sebelum ini, Tan Sri Fng memberi komitmen melalui memorandum perjanjian (MoA) untuk mendermakan RM2 juta kepada TISSA-UUM bagi membantu pusat pengajian dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pembangunan penyelidikan, pembangunan modal insan, pembangunan pelajar dan penambahbaikan infrastruktur.

Beliau juga menyumbang RM40,000 kepada program pendaki yang terdiri dari 20 staf UUM mengikuti UUM-ABC Endurance Challenge 2022 di Anapurna Based Camp, Nepal pada 18 September hingga 1 Oktober 2022.

Dalam pertemuan pengurusan TISSA-UUM pada 3 November lalu, Tan Sri Fng Ah Seng mengumumkan sumbangan RM10,000 untuk sambuat Hari Keluarga Staf TISSA-UUM.

Pengumuan Tan Sri Fng dibuat dalam majlis syarahan Profesor Adjung yang bertajuk Strategies To Win in A Challenging Economy dalam bilik seminar guna sama yang dinamakan sempena nama beliau iaitu Bilik Seminar Tan Sri Fng Ah Seng.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Dekan TISSA-UUM, Prof Dr Nor Aziah Abd Manaf; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Rosli Mohamad; Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Natrah Saad; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Marhaiza Ibrahim dan Pengarah AISRED yang merangkap Pengarah Program Syarahan Profesor Adjung ini iaitu Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali.

Program yang bermula tepat pada jam 10:10 pagi itu telah disertai lebih 150 orang yang terdiri mahasiswa dan staf TISSA-UUM dan delegasi dari Epic Valley Holdings Sdn. Bhd.

Dalam syarahan itu, Tan Sri Fng membentangkan cabaran semasa yang perlu dihadapi oleh usahawan terutamanya dalam sektor perumahan untuk terus mampu bertahan dalam situasi sukar.

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau ketika berhadapan dengan situasi pandemik covid-19 yang antara lain usaha proaktif dilakukan syarikat beliau dalam menolong pembeli yang berdepan dengan kesukaran membeli rumah disebabkan birokrasi pinjaman bank.

Tan Sri Fng juga turut berkongsi faktor-faktor yang perlu ada pada diri seorang usahawan untuk berjaya termasuklah sifat jujur.  Seterusnya syarahan berkenaan disudahi dengan sesi soal jawab bersama pelajar.

Beliau kemudiannya bersama-sama dengan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah untuk makan tengahari di EDC, UUM.

Sebagai rekod, Tan Sri Fng merupakan Profesor Adjung TISSA-UUM bermula tahun 2015.