TISSA-UUM: Seramai 43 pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang Pendang Kedah serta 8 guru menyertai ceramah umum perkongsian ilmu Pengurusan Kewangan Personal anjuran TISSA-UUM pada 19 September 2022 bertempat di Kem PLKN Sintok UUM.
Sesi ceramah ini dianjurkan sebagai salah satu pengisian ilmu kepada para pelajar yang mengadakan perkhemahan kokurikulum sekolah di kem PLKN Sintok. Matlamat utama penganjuran ceramah ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan pelajar tentang kepentingan dan kaedah pengurusan kewangan yang baik sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan pada masa hadapan.
Program ini amat berkait rapat dengan matlamat SDG 3, 4 dan 8 yang memfokus kepada kesejahteraan hidup, pendidikan berterusan dan pembangunan ekonomi individu dan keluarga bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat dalam jangka masa panjang.
Program ini melibatkan kerjasama di antara TISSA-UUM dan SMK Kubor Panjang. Ceramah disampaikan oleh Prof Madya Dr Rafeah Mat Saat, pensyarah TISSA-UUM. Mohd Azudin Ismail, guru ko-kurikulum SMK Kubor Panjang menyatakan bahawa pengisian seumpama ini amat baik kepada para pelajar terutamanya tips-tips meningkatkan simpanan dan pengurusan kredit yang pasti berguna buat mereka dalam mendepani cabaran kos sara hidup kini dan masa hadapan.