All News

Program ONTAP sasar bantu tingkat prestasi akademik pelajar sekolah

ONTAP

Lebih 160 pelajar tingkatan 4 dan 5 dijangka akan mendapat manfaat dari perlaksanaan program ONTAP (On-site Tuition for Accounting Principle), program komuniti yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM). Program ini melibatkan tiga buah sekolah di daerah Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Hosba, Sekolah Menengah Changlun, dan Sekolah Menengah Bandar Baru Sintok. Program ini merupakan kesinambungan dan olahan kepada program yang diadakan pada tahun 2021 secara maya di beberapa buah sekolah di Daerah Bandar Baharu Kulim.

Inisiatif ini adalah bagi menyahut saranan Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah agar pensyarah dan pelajar UUM dapat melibatkan diri secara aktif di dalam program khidmat masyarakat di dalam pelbagai peringkat. Program yang telah dilancarkan pada 13 September 2022 yang lalu di Sekolah Menengah Hosba, akan melibatkan tenaga pembimbing dari kalangan pelajar dan juga pensyarah TISSA-UUM.

Program yang turut melibatkan kerjasama dari Bank Negara ini bermatlamatkan serampang dua mata, iaitu untuk memberi pendedahan dan peluang kepada pensyarah dan pelajar-pelajar TISSA-UUM untuk berbakti kepada masyarakat setempat serta sebagai usaha untuk menjalinkan hubungan baik di antara universiti dan komuniti.

Memetik ucapan pembukaan di Sekolah Menengah Hosba, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi TISSA-UUM, Profesor Madya Dr. Natrah Saad, mewakili Dekan TISSA-UUM menekankan kepada fokus utama program ONTAP iaitu untuk membangkitkan semangat pelajar dalam menguasai subjek perakaunan yang mungkin dianggap sukar sebelum ini. Selain itu, inisiatif ini turut membantu pelajar-pelajar bagi memperolehi keputusan yang lebih baik dalam subjek perakaunan di peringkat SPM nanti.

Program yang turut mendapat sokongan dan sambutan oleh guru-guru sekolah yang terlibat ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula September hingga penghujung Disember 2022.