All News

Program Akauntabiliti Alam Sekitar menyemai kesedaran 3R di kalangan murid sekolah dan komuniti

Akauntabiliti Alam Sekitar

TISSA-UUM: Seramai 195 pelajar Sekolah Kebangsaan Tebengau serta ibubapa menyertai Program Akauntabiliti Alam Sekitar anjuran TISSA-UUM. Program komuniti ini telah berlangsung pada 14 September 2022 bertempat di Dewan SK Tebengau, Alor Setar, Kedah.

Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan amalan kitar semula atau 3R di kalangan generasi muda bermula dari peringkat sekolah rendah. Program ini adalah sejajar dengan matlamat SDG 11, 12, dan 13 yang memfokuskan kepada pendidikan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan penjagaan alam sekitar yang akhirnya mampu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Program ini turut melibatkan agensi berkaitan iaitu SWCorp dan E-Idaman yang merupakan agensi bertanggungjawab bagi menguruskan sisa pepejal di seluruh negeri Kedah. Taklimat berkaitan kaedah pengurusan sisa pepejal dan amalan 3R yang telah di sampaikan oleh En Sharazi dan En Mukhriz dari SWCorp dan E-Idaman berupaya menarik minat pelajar serta ibubapa yang hadir. Program ini turut menyaksikan sejumlah 184kg barang kitar semula yang telah dikumpul dan dijual oleh pelajar SK Tebengau.

Selain itu, ceramah bertajuk “Pembangunan Mampan dan Kemakmuran Bersama: Akauntabiliti dan Nilai” turut disampaikan oleh pensyarah TISSA, Dr. Azharudin Ali kepada ibu bapa dan penjaga pelajar untuk memberi kesedaran tentang peranan mereka ke arah persekitaran yang mampan di masa hadapan.

Di dalam ucapan perasmiannya, Prof. Madya Dr. Natrah Saad, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), yang mewakili Dekan TISSA-UUM, telah menzahirkan hasratnya agar program komuniti sebegini menjanjikan manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat bagi memastikan kelestarian alam sekitar. Lanjutan kepada program ini, pihak E-Idaman telah bersetuju untuk menyediakan sangkar kitar semula untuk ditempatkan di SK Tebengau serta menjadikan aktiviti 3R ini sebagai aktiviti berkala di sekolah.