UUM ONLINE: AIS Day 2022 memberi pendedahan bermanfaat kepada kira-kira 170 pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) (B. Acct (IS), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), baru-baru ini.
Bertemakan “To know is to love” program anjuran Unit Sistem Maklumat Perakaunan, melibatkan sesi bersama 17 pensyarah untuk memberi maklumat konsep asas data analitik menggunakan Phyton melalui perisian Jupyter yang disampaikan oleh Dr. Zhamri Che Ani dari Pusat Pengajian Pengkomputeran.
Manakala sesi bersama pelajar bertujuan untuk memberi kefahaman yang lebih jelas tentang struktur program B. Acct (IS) dan memberi pendedahan tentang kepentingan setiap kursus yang ditawarkan.
Antaranya memperkenalkan pensyarah Unit Sistem Maklumat Perakaunan kepada pelajar, penerangan berkaitan semua kursus di dalam program pengajian dan sesi perkenalan mentor dengan kumpulan mentee di kalangan pelajar.
Sesi ini penting untuk membantu pelajar terutamanya pelajar semester 1 hingga 4 yang kembali ke kampus selepas pandemik Covid-19.
Menerusi pengisian ini, setiap pelajar diberikan mentor bagi mewujudkan saluran perhubungan di antara pelajar dan pensyarah bagi membantu perkembangan dan pembangunan pelajar yang terlibat.
Sementara itu, Dekan TISSA, Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf menyeru pelajar untuk berbangga dengan program pengajian yang diambil kerana menawarkan integrasi perakaunan dan teknologi yang mempunyai nilai yang tinggi untuk membantu kebolehpasaran graduan program B. Acct (IS).
Beliau berkongsi kejayaan TISSA yang berjaya menerima pengiktirafan pengecualian penuh dari Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Beliau turut menggalakkan pelajar untuk menyertai “ACCA Accelerate Program” yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengikuti ijazah sarjana muda perakaunan dan pada masa yang sama menduduki peperiksaan ACCA semasa masih belajar di UUM.