All News

KUNJUNGAN HORMAT TISSA-UUM HARGAI SUMBANGAN PROFESOR ADJUNG

tsf

UUM ONLINE: Pulau Pinang - Sebagai penghargaan di atas sumbangan cek bernilai RM1.2 juta kepada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf bersama pengurusan TISSA-UUM telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Profesor Adjung TISSA-UUM, Tan Sri Dr. Fng Ah Seng selaku Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd. dan Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng di Pejabat Epic Valley Holdings Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Kunjungan hormat tersebut adalah untuk menyampaikan surat penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan tersebut yang akan dimanfaatkan bagi aktiviti pembangunan pelajar dan staf TISSA-UUM.

Pada pertemuan itu, Nor Aziah juga berkongsi dengan pemilik Epic Valley mengenai pencapaian UUM, kedudukan TISSA-UUM di persada antarabangsa serta perkembangan semasa TISSA-UUM.

Melihat kesungguhan UUM dan TISSA-UUM sehingga berjaya meletakkan pusat pengajian itu di persada antarabangsa telah mendorong Epic Valley menaja 10 stafnya untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah di TISSA-UUM.

Tambahan pula, UUM merupakan universiti terawal yang menjalinkan kerjasama dengan syarikatnya dan Yayasan Muhibah.

Beliau juga telah menyatakan persetujuannya untuk mengadakan syarahan Profesor Adjung di TISSA-UUM pada tahun ini secara bersemuka.

Selain itu, beliau turut berkongsi pelbagai pengalaman dan tips dengan delegasi TISSA-UUM semasa kunjungan hormat ini, terutamanya berkaitan cabaran semasa pandemik Covid-19, kedudukan semasa ekonomi dan pelaburan hartanah serta tips pemilikan 3-rumah.

Fng Ah Seng menzahirkan kegembiraannya ke atas kedudukan Epic Valley Holdings yang semakin kukuh di dalam industri pembinaan dan aktiviti perniagaan yang kembali rancak pasca pandemik Covid-19.