All News

KLINIK CUKAI TAWAR KHIDMAT PAKAR PERCUKAIAN

cukai

UUM ONLINE: Tahap kesedaran tentang cukai dalam kalangan masyarakat yang masih rendah mendorong Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Alor Setar menganjurkan Program Klinik Cukai di Ruang Legar Utama, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi. 

Program khidmat masyarakat itu merupakan acara tahunan anjuran TISSA-UUM yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah dari Unit Cukai.

Perasmian Klinik Cukai ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.

Dalam ucapan beliau berkata, kolaborasi sebegini harus diteruskan pada masa hadapan agar UUM bukan sahaja dikenali di persada antarabangsa sebagai pusat rujukan akademik tetapi juga sebagai institusi yang berperanan dalam pembangunan komuniti setempat dan negara.

Sementara itu, Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf melahirkan rasa keprihatinan TISSA-UUM terhadap warga UUM serta komuniti sekitar terutama melibatkan isu percukaian.

Menurutnya, bagi memastikan setiap warga mendapat khidmat nasihat yang tepat, pihaknya menawarkan pakar percukaian daripada TISSA-UUM dan LHDNM untuk membantu memberi penerangan dan maklumat lebih lanjut termasuk berkaitan e-Filing.

“Kami mempunyai 124 orang pensyarah perakaunan di TISSA-UUM dan 15 daripadanya merupakan tenaga pakar dalam bidang cukai yang boleh berkongsi maklumat dan membantu mana-mana individu dan perniagaan dalam hal-hal berhubung e-Filing dan merancang percukaian mereka.

"Selain itu, UUM juga merupakan universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program Sarjana Percukaian yang mula ditawarkan pada tahun 2019. Program ini merupakan satu-satunya program sarjana yang ditawarkan di Malaysia yang memfokuskan kepada pencukaian. Adalah menjadi hasrat TISSA-UUM untuk menjadi pusat rujukan cukai satu hari nanti," katanya.

Sepanjang klinik diadakan, orang ramai akan diberikan taklimat atau penerangan oleh pegawai LHDNM tentang percukaian bagi tahun taksiran 2021 menerusi Webex, manakala sesi konsultansi dan mengisi e-Filing secara bersemuka.