Pada 4 Mei 2021, barisan pengurusan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) dengan dibantu oleh staf pentadbiran telah mengadakan lawatan bertemu pelajar-pelajarnya di INASIS masing-masing. Lawatan yang diketuai oleh Dekan TISSA-UUM, Profesor Madya Dr. Rose Shamsiah Samsudin itu bertujuan untuk bertanya khabar sambil menyampaikan buah tangan sempena bulan Ramadhan yang telah hampir ke penghujung, dan Syawal yang bakal menjelma.
Seramai lebih 120 orang pelajar dari sepuluh INASIS telah dikunjungi. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sarjana muda dan pasca-siswazah di bawah program pengajian TISSA-UUM, termasuk pelajar antarabangsa. Rata-rata pelajar melahirkan rasa gembira dengan kunjungan tersebut kerana ianya menandakan keperihatinan pihak TISSA-UUM terhadap para pelajarnya. Mereka juga berterima kasih atas buah tangan yang disampaikan memandangkan majoriti pelajar yang ditemui berhasrat untuk tidak pulang ke rumah, tetapi akan menyambut Aidilfitri di kampus UUM.
Semasa program berlangsung, pelajar-pelajar dan staf yang terlibat sentiasa diingatkan untuk mematuhi penjarakkan fizikal dan tidak menanggalkan pelitup muka. Turut hadir bertemu para pelajar ialah Timbalan Dekan TISSA-UUM, Profesor Madya Dr. Rosli Mohamad.