“Seorang pengurus perlu fokus kepada matlamat dan objektif yang ingin dicapai dan memastikan apa jua perancangan, perlu dilaksanakan secara praktikal serta sebaik mungkin,” kata Tan Sri Prof. Dr. Fng Ah Seng dalam syarahan Profesor Adjung bertajuk ‘Project Management in Construction Industry’ anjuran Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) secara dalam talian, semalam.
Beliau berkata, adalah penting untuk bergaul dengan kelompok orang yang positif, sudi berkongsi pengalaman dan mahu berjaya bersama-sama.
Dalam sesi tersebut, beliau turut berkongsi idea dan pengalaman dengan pelajar tentang cara memulakan usaha dalam bidang perniagaan yang diminati.
“Beberapa perkara perlu diberikan perhatian antaranya ialah keperluan mengenalpasti produk yang bersesuaian, perkhidmatan yang memuaskan pelanggan, kemahiran pengurusan dan kepimpinan yang baik serta personaliti dan karakter yang bersesuaian.
“Saya sudah berkecimpung dalam industri pembinaan lebih 13 tahun dan sukanya untuk saya berkongsi langkah-langkah yang perlu diikuti dalam mengurus projek dalam industri pembinaan dengan jayanya,” katanya.
Sesi syarahan tersebut mendapat sambutan lebih 400 peserta terdiri staf akademik dan pelajar UUM yang turut melontarkan pelbagai soalan yang menarik di penghujung sesi syarahan tersebut, antaranya berkaitan faktor-faktor persediaan untuk menyertai industri pembinaan, bagaimana impak IR4.0 ke atas industri pembinaan, pelaburan di dalam industri pembinaan pada musim Covid-19 dan bagaimana untuk sentiasa memiliki semangat berusaha yang tinggi.
Syarahan itu turut disertai Timbalan Dekan TISSA-UUM, Dr. Mudzamir Mohamed, Ketua Jabatan serta Penyelaras Program TISSA-UUM.